Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 1445H / 2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Di sebalik desas desus akan berlakunya rombakan Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan rakan-rakan jemaah menteri supaya memikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, jawatan yang dipikul merupakan satu amanah dan dikurnaikan oleh Allah S.W.T.

“Tapi saya beritahulah terus terang sebab jawatan ni satu amanah. Kuasa ni Allah S.W.T yang tentukan…dia akan beri dan dia akan tarik.

“Jadi, sementara sebelum ditarik kita laksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya, sementara Allah beri peluang kepada kita untuk memikul amanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan 1445H/2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan sama ada mendengar khabar angin mengenai rombakan Kabinet yang dikatakan akan berlaku pada masa terdekat.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor bersedia membuat rombakan dalam masa terdekat, antaranya melibatkan Kabinet, Ketua Setiausaha (KSU), anggota birokrasi, kakitangan awam, dan pejabatnya sendiri.

Katanya, beliau akan berfikir terlebih dahulu berhubung kemungkinan melakukan rombakan Kabinet itu.

Desa-desus rombakan Kabinet timbul selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dalam masa tedekat.

Katanya pertemuan itu adalah untuk memberikan penjelasan terhadapnya mengenai isu-isu yang melibatkan tafsiran al-Quran.

“Insya-Allah bila kita ada engagement yang sebegini dengan orang bukan Islam, kita harapkan yang bukan Islam dapat terima kita sebagai satu agama yang rahmah,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Na’im menggesa mufti-mufti di semua negeri untuk tampil memberi penjelasan sekiranya ada perkara berbangkit mengenai isu berkaitan agama bagi mengelak perkara tersebut dimanipulasi pihak tertentu termasuk ahli politik.

Katanya, peranan mufti sangat penting dalam menjelaskan sesuatu hukum kepada masyarakat agar tidak wujud kekeliruan.

Howard Lee sebelum ini membangkitkan kemarahan pihak tertentu apabila didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran dan videonya tular di laman media sosial baru-baru ini.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegur perbuatan pemimpin DAP berkenaan.

Ujarnya, tindakan mentafsir al-Quran sewenang-wenangnya itu disifatkan sebagai mempermainkan kalam Allah SWT dan tidak boleh diterima sama sekali serta sesiapa yang bertindak sedemikian boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast