GUA MUSANG – Harimau belang yang didakwa menyerang anjing peliharaan penduduk masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai sejak Julai lepas berjaya ditangkap di Kampung Hak, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau belang jantan yang diberi nama “Apek Bihai” dan dianggarkan berusia dua tahun itu berada dalam keadaan sihat ketika ditangkap.

“Pada 6 Ogos, pihak kami telah menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) di Kampung Hak selepas menerima aduan berkaitan kehadiran haiwan itu daripada penduduk kampung pada 24 Julai lepas.

“Selepas itu, pada 28 September Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) bersama kakitangan Perhilitan Kelantan telah menjalankan operasi tangkapan harimau belang, melibatkan 10 anggota dan pemasangan satu unit perangkap tambahan di kawasan aduan serta seekor kambing hidup digunakan sebagai umpan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata, harimau belang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perhilitan, kes pertama serangan harimau belang di Pos Bihai ialah pada 5 Julai 2021 melibatkan seekor harimau belang betina (Syamilla Bihai) yang telah menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli, telah berjaya ditangkap dan ditempatkan di NWRC Sungkai.

“Bagi kes kedua pula pada 7 Jan tahun lepas melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli akibat diserang harimau belang, menyebabkan haiwan tersebut terpaksa ditembak mati kerana telah cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi,” katanya. – Bernama