JOHOR BAHRU – Kerja-kerja pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang dijangka siap sepenunya pada pertengahan Oktober.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, masalah kesesakan di sepanjang lebuh raya itu sejak sekian lama sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri.
“Saya turut ambil maklum berkenaan aduan rakyat tentang kesesakan teruk yang berlaku akibat daripada kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan ini.
“Khabar gembira apabila 23 kerja pembaikan jalan sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang kini berada di fasa akhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, dalam usaha mengurangkan kesesakan bagi jangka masa pendek, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat garisan jalan sementara.
Beliau mengharapkan inisiatif dalam menambahbaik infrastruktur yang dilaksanakan itu dapat memberi manfaat, sekali gus memberi impak positif kepada rakyat dari segi kualiti kehidupan seharian.
Sementara itu, Onn Hafiz pengguna lebuh raya tersebut menggunakan laluan alternatif sehingga pertengahan Oktober ini.
Antara laluan alternatif yang dicadangkan itu adalah dari Johor Bahru ke Pasir Gudang dan dari Pasir Gudang ke Johor Bahru – keluar melalui Jalan Pandan (FT03) dan susur Jalan Rinting, dan melalui Jalan Masai Lama (J10)
Dari Senai ke Ulu Tiram – keluar melalui susur Bandar Dato Onn, keluar Adda Height, dan melalui Taman Daya, melalui Mount Austin, keluar susur Aeon Tebrau dan dari Skudai ke Ulu Tiram – keluar susur Angsana Mall, melalui Jalan Tampoi dan keluar Kampung Ubi Baru. – MalaysiaGazette