Najib Razak
RS Thanenthiran (tengah) memberi pandangan ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk 'Konsep 1Malaysia Yang Inklusif' pada program sesi dialog awam 'Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?' di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Turut kelihatan, Ti Lian Ker (kiri) dan Isham Jalil (kanan). Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju agar demonstrasi jalanan dianjurkan bagi meraih sokongan rakyat bagi menyokong usaha mendapatkan keadilan terhadapnya.

Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, cadangan itu pernah dikemukakan kepada Najib berikutan kes-kes mahkamah yang dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut beliau, ramai rakyat biasa yang sedar bahawa ketidakdilan sedang berlaku terhadap Najib.

“Najib mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang. Berbanding dengan orang lain, terus reformasilah, turun ke jalan tetapi Najib tidak setuju.

“Beliau tak mahu negara ini dilanda pelbagai demonstrasi jalanan, beliau tak mahu negara ini hancur,” katanya ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk ‘Konsep 1Malaysia Yang Inklusif’ pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ di Wisma MCA di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan Timbalan Presiden Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Dr Aaron Yusof Abdullah itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan BeNAR Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa.

Sementara itu, Lian Ker berkata, para penyokong Najib dan mereka yang bersimpati dengan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berfikiran rasional.

“Kita tidak meradikalkan penyokong-penyokong kita. Sebab itulah Bossku tidak beroleh momentum politik yang diperlukan untuk menyokong permohonan pengampunannya,” jelasnya.

Beliau juga melihat banyak kejanggalan berlaku dalam kes-kes yang dihadapi Najib di mana prinsip kedaulatan undang-undang telah dilanggar.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Najib perlu diberi pertimbangan sewajarnya untuk mendapatkan pengampunan diraja. – MalaysiaGazette