KUALA LUMPUR – Semua inisiatif ekonomi yang dilaksanakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri dahulu memberi keutamaan terhadap aspek memudahkan kehidupan rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur berkata, antara inisiatif tersebut adalah pusat transformasi bandar (UTC), pusat transformasi luar bandar (UTC), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia.
Menurut beliau, rakyat sangat memerlukan kemudahan-kemudahan tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan dan membeli barangan pada harga murah.
“Najib melihat bandar, luar bandar, golongan miskin, semua lapisan beliau ambil kira.
“Siapa yang tidak boleh berterima kasih dengan sumbangan beliau,” katanya ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk ‘Keadilan Dari Segi Ekonomi dan Kesihatan’ pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Sesi yang dikendalikan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Media Hebat, Datuk Seri Dzulkarnain Taib itu turut disertai seorang lagi ahli paneil iaitu Presiden Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Dr Ismail Ali.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan BeNAR Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa.
Sementara itu, Dr Ismail berkata, wawasan ekonomi Najib bukan sahaja merangkumi semua lapisan masyarakat malah turut merentasi zaman.
Beliau berkongsi pengalamannya mempersoalkan tentang inisiatif BR1M ketika berdepan dengan Najib setelah melihat beberapa pesakitnya menggunakan wang yang diterima untuk membeli telefon pintar dan aksesori yang berjenama.
“Najib menjawab atas sebab itulah wang itu diberikan kerana ia memberi detik kegembiraan kepada mereka apabila dapat memenuhi keperluan.
“Beliau turut menyatakan bahawa seluruh rantaian nilai menerima manfaat daripada transaksi tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette