KUALA LUMPUR – Semangat juang tinggi serta keupayaan pelumba kebangsaan menyaingi pasukan WorldTeam dan ProTeam pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 diharap mampu membuka lembaran positif buat mereka untuk terus ‘berkayuh’ pada masa akan datang.
Harapan itu disuarakan Ketua Jurulatih skuad berbasikal negara Mohd Yusof Nasir yang berharap agar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dapat melakukan sesuatu bagi memastikan potensi barisan pelumbanya tidak disia-siakan.
“Saya akan bincang dengan pihak MSN dan PKBM untuk mengusahakan sesuatu buat mereka. Tak mahu jadi macam tahun lepas bila mana kita tubuhkan sesebuah pasukan hanya untuk LTdL sahaja lepas itu tidak ada kesinambungan.
“Ikutkan pada tahun ini sahaja, kita dapat raih gelaran tiga kali Terbaik Asia. Jadi saya nak bawa keputusan ini kepada mereka. Harap mereka buka mata,” katanya kepada pemberita pada penamat perlumbaan LTdL 2023 di Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini semalam.
Skuadnya yang disertai empat bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Zawawi Azman serta dua lagi pelumba berbakat Muhammad Shaiful Adlan dan Zulhelmi Zainal mempamerkan saingan cukup hebat sepanjang perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,278.1 kilometer (km) itu.
Pada Peringkat Pertama LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu minggu lepas, anak buah Yusof membuktikan yang mereka bukan sekadar pasukan pelengkap.
Izzat Hilmi berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 187.4km itu di tempat keempat sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pasukan terbaik keseluruhan (peringkat) dan pasukan terbaik Asia.
Beliau sekali lagi mempamerkan kehebatan berbasikalnya dengan meraih kedudukan lima terbaik pada penutup LTdL, Peringkat Kelapan, semalam.
Nur Aiman pula berjaya menamatkan Peringkat Ketiga dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km di tempat keenam selain turut menyambar Jersi Putih selaku pelumba Terbaik Asia.
Sementara itu, Yusof dalam masa sama bersifat terbuka jika anak buahnya itu ‘dipancing’ mana-mana pasukan ProTeam demi perkembangan karier mereka.- BERNAMA