MELAKA – Kutipan fidyah di Melaka tahun lalu yang masih berbaki RM1.2 juta akan diagihkan kepada umat Islam kategori B40 yang memerlukan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia selepas hasil kutipan fidyah berjumlah RM2.34 juta tahun lalu telah diagihkan kepada fakir miskin berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Menurutnya, ia termasuklah agihan serahan dalam bentuk beras dan wang tunai melalui Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) serta kepada mangsa-mangsa yang terkesan pandemik Covid-19.
“Namun memandangkan baki terkumpul fidyah masih tinggi sebanyak RM1.2 juta, kerajaan bercadang untuk melaksanakan beberapa siri program demi kemaslahatan umat Islam di Melaka khususnya dari golongan B40.
“Jadi tahun ini MAIM telah merancang program pengagihan dana fidyah ini agar bantuan dapat disalurkan sebaik-baiknya kepada semua golongan yang berkelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutup Dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul di pentas utama Karnival Semarak Cinta Rasul, Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini hari ini.
Teks ucapan Ab Rauf dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Hadir sama, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, Zakat dan Baitulmal, Majlis Agama Islam Melaka pada Februari lalu telah meluluskan penggunaan dana fidyah sebanyak RM400,00.
“Daripada jumlah itu, RM147,000 telah disalurkan kepada 170 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ada yang mendapat bantuan selama 10 bulan.
“Tahun ini kita juga telah menggunakan peruntukan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka dengan memberi sumbangan berupa dua unit mesin biolight kepada Klinik Kesihatan Daerah Jasin dan Alor Gajah,” katanya.
Sumbangan lain termasuklah 10 buah komputer kepada sekolah rendah agama, mesin basuh dan kerusi kepada sekolah dan sekolah tahfiz.
“Segala sumbangan dan peruntukan pengagihan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri melalui MAIM begitu prihatin dalam usaha menyalurkan agihan dana tersebut kepada golongan yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette