Peguam Datuk sri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada Forum Townhall For Justice: Keadilan sebenarnya untuk siapa? di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Peguam yang mengetuai kes-kes berprofil tinggi Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mahu penyokong bekas perdana menteri berterusan mendesak dan berkempen bagi pengampunan anak guamnya.

Malah Muhammad Shafee melahirkan harapan tinggi supaya permohonan berterusan itu disalurkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana Seri Paduka mempunyai keputusan mutlak berkaitan pengampunan diraja.

“Siapa yang ada kuasa dalam kes ini untuk kita dapat kebebasan Datuk Seri Najib Razak? Tidak ada apa-apa jawapan kontroversi langsung, yang berkuasa mutlak dalam pengampunan ini ialah Agong. Kita juga sedia maklum YDPA ketika ini akan bertukar antara bulan Januari dan Februari tahun hadapan.

“Jadi kita harus membuat permohonan, mendesak dan pelbagai kempen inisiatif terutamanya kepada YDPA sekarang ini supaya baginda yang juga Sultan Pahang dan Najib dari Pahang dengan begitu banyak jasa.

“Ini kita rasa tugas akhir baginda yang menguntungkan negara serta negeri Pahang. Jika kita boleh buat desakan hebat supaya YDPA memberikan pengampunan Najib ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi townhall ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa’ melibatkan Pengarah Komunikasi dan Strategi Pergerakan Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin yang bertanya apakah hala tuju pembebasan Najib ketika ini semalam.

Muhammad Shafee juga menggesa para penyokong Najib untuk memohon tuntutan pengampunan dan  pembebasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

“PMX membuat pertemuan dengan YDPA hampir tiap-tiap minggu jadi perbincangan atau cadangan supaya Lembaga Pengampunan boleh bertindak, melakukan sesuatu bagi pembebasan Najib. Saya percaya YDPA akan bertindak dengan mengadakan mesyuarat berkaitan perkara andai mendapat cadangan perdana menteri.

“Hanya dua perkara ini sahaja yang dapat dilakukan ketika ini,” ujarnya.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib tak minta pengampunan kerana bersalah tetapi kerana perbicaraan tak adil – Shafee