Banyak lagi kempen dan acara menarik disediakan MBSA sempena sambutan ulang tahun ke-23

SHAH ALAM – Pengurangan kompaun tempat letak kereta sehingga RM10 ditawarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang sambutan ulang tahun ke-23 pihak berkuasa tempatan  itu.

Tawaran itu adalah bagi Kompaun Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA 2007.

Manakala pengurangan sehingga 75 peratus turut ditawarkan bagi kompaun terpilih MBSA.

Jurucakap MBSA berkata, orang ramai mempunyai tunggakan kompaun tempat letak kereta boleh membuat bayaran sepanjang kempen satu bulan dari 1 hingga 31 Oktober ini.

“Kita menjemput orang ramai meriahkan program menarik yang kami sediakan sepanjang sambutan bertemakan Bandar Raya Shah Alam 23 Tahun Mampan, Pintar dan Berdaya Huni.

“Kempen pengurangan kompaun adalah antara yang kami sediakan. Ayuh, rebut peluang ini untuk menjelaskan kompuan tertunggak anda.

“Kami menawarkan pengurangan kompaun tempat letak kereta berjumlah RM10 dan sebanyak 75 peratus pengurangan kepada kompaun terpilih majlis sahaja,” katanya menerusi hantaran Facebook MBSA hari ini.

Selain itu, penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,570 untuk dimenangi dalam Kejohanan Catur Terbuka Shah Alam 2023 yang akan diadakan pada 21 Oktober ini.

Orang ramai boleh menghantar penyertaan sebelum tarikh tutup 16 Oktober ini melalui urusetianya, Zarina di talian 017-6952169, Johaari (011-237 90463) atau Fauzi (012-699 8785).

Turut diadakan Festival Altruisme 3.0 pada 7 Oktober di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik bertemakan “Altruisme Meningkatkan Kesedaran Komuniti Inklusif Golongan OKU”.

“Pertanyaan untuk festival ini boleh hubungi Diane di talian 016-607 7083,” katanya.

Sementara itu, Konvensyen Transformasi Digital Dalam Pengurusan Projek MBSA merupakan salah satu acara kemuncak sambutan.

Konvensyen itu mengumpulkan pelbagai profesional dan pemain industri pembinaan bagi membincang serta mempamerkan teknologi digital, proses, inovasi dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Konvensyen berkenaan akan berlangsung selama dua hari dari 17 hingga 18 Oktober ini di MBSA Convention Centre, Seksyen 13, Shah Alam.

Bagi acara air pula, orang ramai dijemput menyertai Perlumbaan Kayak Terbuka MBSA anjuran bersama Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM pada 29 Oktober ini.

Acara sukan itu berlangsung di Taman Tasik Shah Alam dengan juara perlumbaan akan membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala yuran penyertaan dikenakan RM20 untuk satu pasukan dan tarikh tutup pendaftaran 22 Oktober ini. – MalaysiaGazette