Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kawasan tersebut ialah Taiping, Perak (151); Batu Muda, Kuala Lumpur (151), Cheras (163); Putrajaya, (155); Petaling Jaya (155): Shah Alam, (156), Klang (134): Johan Setia (151) dan Banting (156).

Nilai, Negeri Sembilan (163); Seremban (157); Port Dickson (155); Alor Gajah, Melaka (133) dan Bukit Rambai (151)

Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati masih merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 1 Oktober 2023, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20,
sebanyak 121 titik panas dikesan di Sumatera, 122 titik panas di Kalimantan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tiada titik panas dikesan di dalam negara.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 1 Oktober 2023 turut melaporkan rantau selatan ASEAN mengalami keadaan mendung kecuali di bahagian selatan Sumatera, selatan Kalimantan, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil mengalami keadaan kering.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Oleh itu, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast