Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang menyamar sebagai polis dan memeras wang daripada seorang juruteknik pendawaian dan bapanya diberkas polis di tiga lokasi berasingan di lembah Klang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian di Taman Permai Jaya pada jam 10.30 malam 27 September lalu, pengadu yang merupakan lelaki warga asing dan bapanya yang berada di rumah didatangi tiga  lelaki tidak dikenali.

“Salah seorang daripada suspek telah memperkenalkan diri sebagai polis dari Shah Alam sebelum masuk ke dalam rumah dan membuat pemeriksaan di dalam rumah.

“Suspek kemudian telah menuduh bapa pengadu membuat suatu kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen menjual besi buruk dan meminta sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, bapa pengadu yang terkejut dan takut dengan gertakan suspek telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 dan suspek terus beredar dari rumah tersebut.

Tambahnya, bertindak atas maklumat, pada jam 10.45 pagi 29 September lalu sepasukan polis membuat beberapa siri tangkapan di Tasek Permai, Taman Sri Intan Lembah Jaya Selatan dan Ampang Campuran Ampang Selangor ke atas tiga lelak berumur 42, 34 dan 35 tahun.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek bekerja sebagai juruteknik pendawaian manakala dua lagi suspek tidak bekerja.

“Semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai dua hingga empat rekod kesalahan jenayah lampau kes dadah dan jenayah.

“Dalam siri tangkapan sama, polis juga berjaya merampas tiga unit telefon bimbit milik suspek bagi tujuan membantu siasatan,” ujarnya.

Mohd Azam berkata, ketiga-tiga suspek telah direman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan.-MalaysiaGazette