Dr. Mahathir ketika melawat Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA)

KUALA LUMPUR – Institut pengajian tinggi terkemuka Jepun, Universiti Tsukuba dijangka menubuhkan cawangan di Malaysia tahun depan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya universiti yang berusia 50 tahun itu akan melancarkan cawangan di Malaysia pada bulan September.

“Pada masa ini terdapat universiti cawangan dari United Kingdom, Australia, India dan China. Mereka berjalan dengan baik. Pelajar datang dari Afrika, Asia Tengah dan negara ASEAN.

“Sebab mengapa Malaysia popular untuk pengajian tinggi adalah kerana kos di Malaysia adalah rendah.

“Saya percaya keputusan Universiti Tsukuba untuk menubuhkan universiti cawangan di Malaysia akan sama-sama berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Mahathir ketika melawat Universiti Tsukuba.-Foto FB Dr. Mahathir Mohamad

Mahathir ketika ini berada di Jepun dan dijemput bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 Universiti Tsukuba.

Menurutnya, Tsukuba telah menjadi institusi sejak 151 tahun lalu dan menjadi universiti dalam tempoh 50 tahun lepas.

“Saya pertama kali melawat Jepun pada tahun 1961 dan kagum dengan budaya kerja, komitmen, dedikasi dan keprihatinan terhadap kualiti.

“Saya fikir jika rakyat Malaysia mengamalkan budaya ini kita juga boleh berjaya dan kerana itu Dasar Pandang Ke Timur diperkenal. Sejak penggunaan dasar ini, Malaysia telah menghantar 26,000 pelajar ke Jepun.

“Tetapi jika universiti Jepun terletak di Malaysia, lebih ramai pelajar dari banyak negara akan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan dan etika kerja Jepun,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Mahathir bertanya sesuatu kepada Presiden JAXA Dr. Hiroshi Yamakawa.-Foto FB Mahathir Mohamad

Mahathir turut berkesempatan melawat Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) yang juga terletak di Tsukuba.

Lawatan itu disifatkan Mahathir sebagai menarik dengan beberapa persoalan ditanya kepada Presiden JAXA Dr. Hiroshi Yamakawa dan pasukannya.

Beliau turut membincangkan perubahan iklim dan perkara lain yang berkaitan dengan peristiwa yang berlaku di angkasa lepas.

“Salah satunya adalah mengenai serpihan di angkasa lepas. Hari ini terdapat kira-kira 50,000 serpihan di angkasa yang sebenarnya mengorbit bumi.

“Saya ingin tahu sama ada ia memberi kesan kepada iklim kita atau tidak. Tiada dakwaan bahawa ia menjejaskan iklim.

“Selain itu, saya ingin tahu bagaimana mereka boleh menghantar roket ke angkasa lepas dan sebenarnya berlabuh di Stesen Angkasa,” kata Mahathir. – MalaysiaGazette