Penyanyi nasyid dan Komposer, Yasin Sulaiman dibawa oleh anggota polis untuk mendengar keputusan akhir pendakwaan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023.

PETALING JAYA – “Doakan saya, terima kasih kerana datang.”

Demikian reaksi ringkas pelantun lagu Mimpi Laila, Yasin Sulaiman ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini untuk mengetahui keputusan tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya.

Beliau tiba pukul 2.11 petang berkemeja hitam kelihatan ceria sambil sempat menyapa pengamal media yang hadir.

Nasib Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman akan diketahui hari ini sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tiga pertuduhan kes dadah.

Keputusan tersebut dijangka akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin.

Sebagai rekod, pihak pendakwaan pada 15 September lalu menutup kes selepas selesai memanggil tujuh saksi dalam perbicaraan yang bermula 28 Ogos lalu.

Antara saksi dipanggil adalah pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Selain itu, pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow, masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Terdahulu, penyanyi dan komposer yang berusia 48 tahun itu didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik IPD Petaling Jaya pukul 11.05 malam pada 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada tarikh yang sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette