PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan pemaju hartanah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengembalikan semula saman syarikat itu terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berhubung pemilikan tanah kosong kepunyaan Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Saman itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Nov 2021 susulan permohonan Felda dan FIC.
Dalam keputusan sebulat suara yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Datuk Azizah Nawawi berkata perkara itu mesti dibicarakan kerana terdapat isu fakta yang boleh dibicarakan sama ada terdapat kelulusan menteri yang diperoleh di bawah Seksyen 3(3) (C) Akta Pembangunan Tanah 1956.
“Selain itu isu ketidakjujuran, penipuan dan konspirasi terhadap SPSB,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu mesti dibicarakan.
Beliau berkata di bawah Seksyen 3(3) (C), Felda dan FIC perlu mendapat kelulusan daripada menteri sebelum mereka memeterai perjanjian usaha sama. Beliau berkata daripada dokumen mahkamah dalam kes saman yang difailkan oleh Felda dan FIC terhadap 21 defendan, mereka telah mengaku (defendan) bahawa kelulusan telah diperoleh daripada menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.
Hakim Azizah yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bersidang bersama Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan, juga memerintahkan kes saman SPSB itu didengar bersama kes saman yang difailkan Felda dan FIC.
Sementara itu, panel hakim menolak rayuan SPSB berhubung permohonannya untuk memperoleh penghakiman terus terhadap Felda dan FIC. Mahkamah Tinggi pada 23 Julai 2020 menolak permohonan SPSB untuk mendapatkan penghakiman terus dan syarikat itu memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Dalam saman itu, SPSB menuntut pelaksanaan spesifik terhadap Felda dan FIC berkenaan dengan perjanjian yang dimeterai pada 2 Jun 2014. Malalui perjanjian tersebut SPSB dilantik selaku pemaju induk untuk pembangunan bercampur di 24 bidang tanah secara keseluruhannya berukuran 8.36 hektar.
Di bawah perjanjian itu, FIC dikehendaki menyerahkan tanah kosong dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian itu dan juga memastikan bahawa pemilikan itu tidak dibatalkan oleh Felda sebelum projek selesai.
Bagaimanapun, SPSB mendakwa bahawa pada atau sekitar Januari 2016, Felda dan FIC hanya menyerahkan satu bidang tanah kepada syarikat itu. SPSB juga menuntut perintah berbangkit dengan mengarahkan defendan segera memberikan hak milik atas tanah-tanah tersebut kepada syarikat itu.
Sementara itu, Felda dan FIC turut memfailkan saman pada November 2019 terhadap 21 defendan termasuk dua bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad serta bekas pengarah besar Felda, SPSB dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC).
Mereka memohon perintah untuk mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah Semarak Felda daripada agensi itu kepada SPSB dan SPKLVC.
Mereka juga memohon pampasan sebanyak RM1.5 bilion bagi keseluruhan liabiliti sewa di bawah Perjanjian Sewa jika ia tidak diketepikan, pampasan sebanyak RM2.062 bilion selain menuntut pampasan bagi nilai komersial 17 lot tanah yang kononnya dijual di bawah empat perjanjian dan kos pembelian pajakan.
Peguam Amrit Pal Singh mewakili SPSB manakala peguam Kumar Kanagasingam bertindak bagi Felda dan FIC. – BERNAMA