Kompleks Mahkamah Alor Setar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah hari ini telah memerintahkan polis untuk menyerahkan dokumen berkaitan kematian seorang mahasiswa Unversiti Utara Malaysia (UUM), mendiang S. Vinosiny yang maut selepas terkena renjatan elektrik tahun lepas.

Difahamkan dokumen itu berkaitan laporan perubatan serta lain-lain berkaitan penyiasatan kematian pelajar itu kepada bapa mendiang, R. Sivakumar.

Sivakumar memohon kepada mahkamah berhubung dokumen itu kerana akan menggunakan bahan-bahan itu bagi menyedian saman kecuaian berhubung kematian anaknya di asrama UUM pada 21 Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Taib telah menetapkan polis untuk menyerahkan dokumen-dokumen itu dalam tempoh 14 hari.

Menurut peguam mewakili bapa mangsa, M. Manoran, antara dokumen itu termasuklah laporan perubatan, laporan ahli kimia, laporan polis dan semua gambar yang diambil semasa siasatan kes kematian Vinosiny.

Sebelum ini keluarga Vinosiny mendakwa menuduh universiti itu cuai dan kemudiannya memfailkan penemuan pra-tindakan di bawah Perintah 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 pada Jun.

Mereka juga mendapati ada kecederaan pada badan mendiang serta dalam laporan bedah siasat.

Pada 21 Mei tahun lalu, negara digemparkan dengan kematian pelajar perempuan berusia 21 tahun di UUM Sintok yang diklasifikasikan mati mengejut.

Unit Komunikasi Korporat UUM dalam kenyataan ketika itu berkata, Vinosiny adalah pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dan pihak universiti turut menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian pelajar terbabit. – MalaysiaGazette