KUALA LUMPUR – Malaysia berada di tangga ke-18 daripada 42 buah negara dalam Indeks Keterangkuman Kewangan, peningkatan sebanyak dua anak tangga berbanding tahun lalu, menurut kajian Indeks Keterangkumam Kewangan Global 2023 daripada Principal Financial Group® dan Centre for Economics and Business Research (Cebr).
Kajian tahunan oleh Principal ® ini yang meliputi tahap keterangkuman kewangan pasaran berdasarkan sokongan yang diberikan oleh majikan, kerajaan, dan sistem kewangan mendapati keterangkuman kewangan telah meningkat secara keseluruhannya, di seluruh dunia dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Peningkatan terbesar dicatat di Amerika Latin, Asia Tenggara, dan Eropah Selatan. Eropah Barat dan Utara secara umumnya kekal stabil.
Data pengguna menunjukkan peningkatan positif yang ketara dalam persepsi keterangkuman kewangan di seluruh Asia Tenggara dan sejajar dengan peningkatan ini, kedudukan keseluruhan untuk keterangkuman kewangan bagi Asia Tenggara turut meningkat dan Malaysia melonjak ke kedudukan15 berbanding 20 dalam tahun lalu bagi komponen persepsi awam.
Peningkatan bagi Malaysia dalam dua daripada tiga tonggak sokongan keterangkuman kewangan, dengan kedudukan ke-22 (+dua daripada ke-24 berbanding 2022) untuk sokongan kerajaan, tempat ke-17 untuk sokongan sistem kewangan (+enam daripada ke-23 berbanding 2022), dan mengekalkan tempat ke-5 dalam sokongan majikan.
Menurut kajian ini, peningkatan ekonomi digital Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan keseluruhan dalam keterangkuman kewangan, serta peningkatan bagi penunjuk ‘jumlah transaksi masa nyata’ (+13 daripada ke-14 berbanding 2022) dan ‘kesambungan atas talian’ (+tiga daripada ke-24 berbanding 2022).
“Pencapaian ini amat menggalakkan yang mana Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kedudukan keseluruhan malah, berjaya mencatat penambahan dalam bilangan masyarakat yang berasa terangkum dalam aspek kewangan.
“Fokus yang berterusan ke arah digitalisasi dan inisiatif lain dalam menyekat halangan dan memperkasa keupayaan orang ramai untuk menyimpan dan melabur mampu meningkatkan lagi keterangkuman kewangan di seluruh negara,” kata Munirah Khairuddin, Ketua Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia.
Kata Munirah, Principal berbangga kerana dapat turut serta menyumbang dalam usaha meningkatkan tahap keterangkuman kewangan Malaysia melalui penyelesaian dompet elektronik yang membolehkan rakyat di negara ini membina portfolio pelaburan yang optimum agar mereka dapat mencapai matlamat kewangan mereka. – MalaysiaGazette