Mohd Faudzinaim Badarudin.-Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin dilantik sebagai Mufti Negeri Sembilan baharu.

Menurut Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pelantikan Mohd Faudzinaim berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu.

“Sekalung tahniah sohibus samahah Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin atas pelantikan sebagai Mufti Negeri Sembilan berkuatkuasa 1 Oktober 2023, 15 Rabiul Awal 1445H daripada Ketua Pengarah dan seluruh warga JAKIM,” katanya.

Beliau yang dilahirkan pada 27 September 1965 di Tanjong Ipoh, Kuala Pilah Negeri Sembilan menggantikan Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Mohd. Faudzinaim pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said di Seremban dan melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) Fakulti Pengajian Islam.

Beliau kemudian meneruskan pengajian Ijazah Sarjana, School of Oriental and African Studies di University of London pada tahun 1991-1992 dan Doktor Falsafah, School of Oriental and African Studies di universiti yang sama pada tahun 1992 hingga 1998.

Mohd. Faudzinaim mula bertugas sebagai tutor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam dan kemudian sebagai pensyarah di jabatan yang sama dan menjawat jawatan Pensyarah Kanan mulai 1 Februari 2005.

Beliau kemudian menjawat jawatan sebagai Professor Madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia mulai Mel 2007 hingga kini.

MOhd. Faudzinaim juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS pada tahun 2009-2011, Ketua Pusat Islam UKM dan merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

Selain itu beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan di antara hasil penulisan beliau adalah seperti Psikologi Agama (2005), Manhalu’l-Safi(2006), Samudera Pemikiran Usuluddin (2006) tulisan beliau bersama Idris Zakaria.-MalaysiaGazette