Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan berat pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Seorang pemandu lori treler yang membawa muatan gelung besi lebih daripada berat dengan muatan yang dibenarkan disaman Jabatan Pengangkutan Jalan malam tadi.

Pemandu berusia 46 tahun itu telah ditahan dan diperiksa oleh JPJ dalam Op Patuh Khas fasa dua ke atas kenderaan perdagangan yang diadakan di Plaza Tol Kemuning Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Shah Alam bermula 8 malam tadi.

Semasa sekatan jalan itu, pemandu lelaki warga tempatan itu sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Senai, Johor.

“Saya tahu ini satu kesalahan membawa muatan yang lebih namun terpaksa melakukannya selepas disuruh oleh majikan saya.

“Kalau tidak bawa nanti majikan marah dan gelung besi itu akan ‘tersadai’ di pelabuhan  memandangkan lori lain sudah rosak dan tidak boleh digunakan untuk operasi malam ini.

“Jadi, saya terpaksa bawa dan kompaun akan dibayar oleh majikan nanti,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Dalam operasi itu, JPJ mendapati treler yang dipandu lelaki itu membawa lebih muatan sebanyak 17 tan daripada yang dibenarkan bagi kenderaannya.

Pemeriksaan JPJ sepanjang operasi malam tadi mendapati beberapa kenderaan perdagangan sanggup menggunakan tayar yang telah pecah sehingga boleh membahayakan pengguna lain.

Dalam operasi sama dua buah lori telah disita termasuk salah sebuah daripadanya dibawa oleh pemandu etnik Rohingya bersama isteri dan anaknya dengan muatan barangan elektronik besi buruk tanpa sebarang dokumen kenderaan dan lesen sah.

Pengarah Penguatkuasa Kanan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Lokman bin Jamaan melakukan pemeriksaan kenderaan pada Ops Patuh Khas 2023 Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kota Kemuning, Selangor. Foto QURRATU AINI, 2 OKTOBER 2023.

Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, selama 90 minit operasi itu, sebanyak 265 buah kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 55 daripadanya dikenakan saman.

“JPJ juga telah berjaya mengesan sebanyak 239 kesalahan dengan 33 kesalahan melibatkan penggunaan tayar celup atau botak.

“Manakala sebanyak 30 kes membabitkan kes Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans disusuli 30 kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan enam kesalahan membawa lebih muatan.

“Dalam operasi sama, kita juga menahan lori yang membawa tanah liat yang merupakan satu kesalahan dari segi permit yang dibenarkan dan kita akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat  dan akan memohon kepada mahkamah untuk dilucut hak.,” ujar beliau.

Tegasnya, data yang disemak oleh JPJ menunjukkan kadar pematuhan peraturan membabitkan kenderaan perdagangan sangat rendah terutama kompetensi pemandu tiada lesen memandu ini.

“Bayangkan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan ini antaranya brek gagal berfungsi, pemandu (treler atau lori) tidak akan cedera parah sebaliknya mangsa kenderaan ringan,” ujarnya, –  MalaysiaGazette