Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi (paling kiri) dalam pertemuan dengan Badr Abdullah Al-Dulami di Prague, Republik Czech. - Gambar: Ihsan Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi berminat untuk mempelajari usaha kerajaan Malaysia berhubung inisiatif keselamatan jalan raya terutamanya kempen MYJalan yang dilaksanakan di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasrat itu dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, Badr Abdullah Al-Dulami dalam satu pertemuan di Prague, Republik Czech.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung usaha ini dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berada di Prague untuk menghadiri Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) mula kelmarin sehingga 6 Oktober.

Pada masa yang sama, Alexander turut menyatakan sokongan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi dalam usaha membida sebagai penganjur Ekspo Dunia 2030.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi (kanan) dalam pertemuan dengan Marat Karabayev di Prague, Republik Czech. – Gambar: Ihsan Kementerian Kerja Raya

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Kazakhstan menyatakan hasrat dan minat untuk membawa masuk kepakaran Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di negara itu.

“Saya amat mengalu-alukan cadangan ini yang sekali gus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar.

“Saya amat berharap kerjasama ini dapat direalisasikan yang akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua negara,” katanya ketika mengulas pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan Kazakhstan, Marat Karabayev di Prague.

Alexander memberitahu, beliau akan membawa cadangan-cadangan itu untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dipertimbangkan oleh Kabinet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast