SEPANG – Dua cubaan menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bernilai hampir RM1.3 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), 27 September lalu.
Kes pertama membabitkan suspek warga Korea berusia 83 tahun yang membawa dadah jenis kokain dengan berat 3.85 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM770,000.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, lelaki itu ditahan jam pada 9 pagi selepas tiba dari Doha dengan menaiki pesawat Qatar Airways.
“Kita temui dua bungkusan berwarna perak tersembunyi pada bahagian dalam bagasi yang dibawa suspek dan disahkan dadah jenis kokain.
“Kami percaya suspek dijadikan ‘keldai dadah’, mungkin dijanjikan habuan wang tunai tertentu dan semakan rekod mendapati dia pernah masuk ke negara ini 16 September lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mengulas kes kedua, Sazali memberitahu ia didalangi warga tempatan berusia 21 tahun membabitkan heroin dan ketamin dengan nilai kira-kira RM500,000.
Dia ditahan jam 11.20 malam hari sama ketika menuntut bagasi di kaunter ‘Lost & Found’ milik sebuah syarikat penerbangan.
“Suspek membatalkan penerbangan ke Taiwan lima hari lalu dan ketika pemeriksaan di mesin pengimbas bagasi, anggota mengesan imej kehijauan dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan disyaki dadah.
“Hasil pemeriksaan menemukan 14 ketulan mampat serbuk putih disyaki heroin dengan anggaran berat kasar 4.95kg bernilai sekitar RM438,000 dan lima paket ketulan kristal disyaki ketamin bernilai sekitar RM60,000,” ujarnya.
Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette