Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini membuat beberapa ketetapan bagi merealisasikan lima komitmen utama pentadbiran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (PN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan itu ialah Pengecualian Cukai Taksiran Rumah Kos Rendah, Insentif Pertanian Kita Selangor, Insentif Khas Pegawai Masjid dan Kesiapsiagaan Bangir Negeri Selangor.

Kata beliau, komitmen Pengecualian Cukai Taksiran Rumah Kos Rendah adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat dengan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung di Selangor.

“Pengecualian ini untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai lalu hingga 31 Disember ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM29,415,672.50 kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Bantuan secara bersasar ini diharapkan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sinichari ini.

Katanya, bagi Insentif Pertanian Kita Selangor pula dibuat sebagai langkah membantu komuniti petani dan pesawah serta memberi insentif supaya kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.

Dalam hal itu, jelas Amirudin, kerajaan negeri akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha untuk bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan.

Pemberian itu akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500, manakala baki RM500 akan diberikan menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah dan akan mula diserahkan pada 31 Oktober ini melalui kerjasama Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad.

Menerusi Insentif Khas Pegawai Masjid, kerajaan negeri mengambil pendirian untuk meningkatkan gaji pegawai masjid sebagai tanda penghargaan melalui gaji progresif.

“Bermula 25 Oktober ini, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan yang ditingkatkan dari RM1,300 ke RM1,500 sebulan yang akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Tambahan kepada itu, elaun bagi 1,900 nazir, bilal dan siak akan ditingkatkan sebanyak RM50 sebulan kepada RM300 untuk nazir, RM340 (bilal) serta RM290 (siak).

“Keseluruhannya pemberian insentif ini merupakan penambahan sebanyak RM2,964,000 dan akan diperuntukkan secara tahunan sebagai ikhtiar kerajaan negeri dalam menggerakkan syiar Islam di Selangor,” katanya.

Satu lagi komitmen utama kerajaan negeri ialah Kesiapsagaan Banjir Negeri Selangor iaitu mengarahkan seluruh jentera kerajaan negeri bersiap sedia menghadapi Monsur Timur Laut dengan beberapa langkah diambil.

Antaranya, Smart Selangor Operation Centre akan mengkoordinasi dan memantau pemakluman kepada rakyat menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi, manakala Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kawasan berisiko bencana akan ditambah fasiliti seperti keperluan asas dan bekalan kit makanan.

“Tambahan kepada itu, semua PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan lain berkaitan telah dipertanggungjawabkan untuk segera membersihkan kolam takungan, saliran, parit serta longkang terutama di kawasan berisiko tinggi banjir bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum.

“Selain melibatkan ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Negeri peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah ditugaskan mengikut skop masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, National Disaster Management Agency (NADMA) dan beberapa agensi serta institusi lain termasuk Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan Tohuku University bagi mengurangkan risiko di peringkat lokaliti dengan melibatkan rakyat dan komuniti tempatan. – MalaysiaGazette