BANGKOK – Suspek yang terlibat dalam tembakan rambang hingga menyebabkan dua orang maut di pusat beli-belah utama Bangkok semalam, disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.
Polis Thailand, Lt. Jeneral Achayon Kraithong berkata, suspek berusia 14 tahun itu dikatakan telah berhenti mengambil ubat.
“Suspek adalah pesakit di Hospital Rajavithi dan tidak mengambil ubatnya.
“Suspek terdengar bisikan seseorang yang menyuruhnya menembak orang. Ia adalah hasil siasatan awal kami,” kata Achayon kepada pemberita.
Achayon berkata, suspek didapati berada dalam keadaan keliru ketika diberkas polis.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Pathumwan.
Achayon memberitahu, polis tidak dapat mengeluarkan sebarang maklumat tambahan kerana suspek masih di bawah umur.
Dua orang maut dan enam cedera lewat petang semalam di pusat beli-belah Siam Paragon apabila seorang penembak melepaskan tembakan dengan pistol 9mm Glock sekitar jam 4 petang.
Dalam foto dan video yang tular, penembak itu dilihat memakai pakaian tempur dengan topi bendera Amerika.
Polis berjaya menahan suspek di tingkat tiga pusat beli-belah berhampiran laluan pejalan kaki yang menghubungkan ke Hotel Siam Kempinski pada jam 5.20 petang.
Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok mengesahkan enam cedera dalam insiden itu.
Tiga dimasukkan ke Hospital Chulalongkorn, dua di Hospital Besar Polis, dan seorang di Hospital Kristian Bangkok.
Dua orang, seorang Cina dan seorang Burma, disahkan terbunuh semasa tembakan itu, walaupun laporan awal menyatakan terdapat tiga yang terbunuh. – Agensi