GEORGE TOWN – Wanita tempatan yang memandu kereta BMW secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini Ahad lepas, memberi alasan dia panik sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum terlibat kemalangan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata wanita berumur 41 tahun yang bekerja sebagai pegawai bank di negeri ini dikatakan tersalah jalan selepas menjamu selera di sebuah restoran di Persiaran Karpal Singh di sini.
“Wanita itu mendakwa tersilap jalan dan panik sebelum masuk ke laluan bertentangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan memandu kira-kira lima kilometer sebelum terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perodua Bezza.
“Pemandu wanita itu turut mendakwa tidak tahu untuk berpatah balik dan meneruskan perjalanan, namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian (lawan arus) terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Khaw berkata wanita itu kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan mengalami sesak nafas serta pening.
Dalam kemalangan kira-kira 12.30 tengah malam di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Bezza mengalami kecederaan pada abdomen selepas keretanya bertembung dengan BMW itu.
Khaw berkata kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- BERNAMA