Shah Hirunizam Kadir (kiri), pendeposit SSPN

PASIR GUDANG – Seorang jurukimpal tidak pernah menyangka iklan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkaitan Geran Sepadan Simpan SSPN Prime yang dilihatnya 15 tahun lalu di sebuah bank memberi sinar kepada anak perempuannya untuk melangkah ke menara gading tanpa perlu dibebani hutang.

Walaupun hanya menyimpan RM30 sebulan secara berterusan, Shah Hirunizam Kadir, 45 berkata, tabungan itu juga berbaloi kerana dia tidak perlu memikirkan jumlah wang yang besar untuk memastikan puteri keduanyan Aisyah Shah Hiruzam, 18, memulakan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) peringkat Asasi dalam jurusan Sains Pertanian.

Ini kerana, dia layak menerima Geran Sepadan daripada PTPTN.

Bapa kepada tujuh orang anak ini merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime, membuka akaun tersebut sejak 21 September 2005 telah menerima manfaat Geran Sepadan berjumlah RM9,513.57.

Katanya, dengan manfaat tersebut, produk simpanan ini  banyak membantu meringankan beban bagi individu sepertinya.

“Saya tahu mengenai Simpan SSPN Prime ketika ke salah sebuah bank. Di sana ada banner yang mempamerkan tentang tabungan Simpan SSPN Prime untuk anak-anak yang mahu melanjutkan pelajaran. Jadi saya fikir, Simpan SSPN Prime boleh tolong kelak kalau anak dapat masuk universiti, duit (simpanan) ada, jadi tidak perlu meminjam untuk belajar.

“Lagipun, produk Simpan SSPN Prime di jamin oleh Kerajaan ” katanya ketika membuka bicara tentang pengalamannya mengenali Simpan SSPN Prime.

Dia ditemui selepas menerima manfaat Geran Sepadan Simpan SSPN Prime di Taman Kota Masai, Pasir Gudang petang semalam. Penyerahan itu disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. Turut hadir Mazni bin Ruslan, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Johor.

Shah berkata, selepas meneliti banner tersebut, dia memutuskan untuk membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk kedua-dua anaknya yang ada ketika itu.

Malah, akui Shah, tabung Simpan SSPN Prime juga banyak membantunya ketika dia hilang pekerjaan ketika negara dilanda Covid-19 kerana wang simpanan itu boleh dikeluarkan bagi menampung kehidupan mereka anak beranak.

Bapa ini berkata, kini empat daripada tujuh anaknya mempunyai simpanan di Simpan SSPN Prime.

“Saya simpan tidak tetap, kadang-kadang kita masuk lebih, bergantung pada rezeki. Kalau ada lebih, kita masuk lebih,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Menurutnya, selain mendidiknya menabung untuk anak-anak, untungnya simpanan dalam Simpan SSPN Prime ialah pendeposit yang layak, boleh mendapat Geran Sepadan sekali gus menambah simpanan sedia ada.

“Kalau dicampur dengan wang yang ada dan pemberian Geran Sepadan, jumlahnya jadi besar. Saya tak sangka duit boleh bertambah dan berganda begini dengan Simpan SSPN Prime,” katanya 

Sementara itu, anaknya Aisyah terharu kerana tidak menyangka ayahnya sanggup berkorban mengikat perut demi memastikan dia dan adik-beradik lain mempunyai simpanan untuk melanjutkan pelajaran.

“Tiada perkataan yang dapat saya ucapkan selain rasa syukur kerana ayah dan mak bijak merancang masa depan dan kehidupan kami. Selama ini pun saya tidak tahu ayah ada buat simpanan sejak saya kecil, saya baru tahu tahun ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak PTPTN kerana mewujudkan simpanan yang diakui banyak membantu keluarga sederhana sepertinya.

Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki menyampaikan replika cek Manfaat Geran Sepadan kepada pendeposit SSPN Shah Hirunizam di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, pemberian Geran Sepadan ini merupakan antara langkah PTPTN untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, dengan pemberian Geran Sepadan, PTPTN akan menggandakan nilai ringgit ke ringgit ke atas simpanan oleh pendeposit.

“Geran Sepadan ini adalah insentif Kerajaan untuk membantu mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan apabila sahaja anak mereka dapat masuk universiti atau tawaran mana-mana IPTA, kita akan beri ringgit ke ringgit. 

Antara keistimewaan dan manfaat lain selain daripada Geran Sepadan yang boleh dinikmati oleh pendeposit apabila menyimpan melalui Simpan SSPN adalah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast