BENTONG – Calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli menyifatkan kedatangan pemimpin dari luar telah mempengaruhi pelbagai sentimen sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pelangai.
Haslihelmy mendakwa, kempen ahli politik yang diadakan di Pelangai dilihat kotor dan mengandungi unsur penipuan, selain fitnah kepada dirinya.
”Saya sakit kepala melihat pemimpin luar dari merata tempat datang ke Pelangai membuat naratif yang tidak baik.
”Kamu memainkan otak anak-anak Pelangai. Saya harap anak Pelangai tidak diperbodohkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya pemimpin luar yan turun padang ke sini hanya memanaskan pentas pilihan raya sehingga hari mengundi dan pulang ke destinasi masing-masing selepas 7 Oktober berbanding dia yang akan terus bersama penduduk Pelangai.
”Pemimpin ini akan pergi selepas Sabtu ini. Saya akan berada dengan tuan puan, Saya hari raya pun akan balik di Kampung Gajah.
”Hanya kita yang faham kita, mereka ini hanya berpura-pura. Parti politik hari ini amat tidak relevan. Parti politik hari ini macam sampah dan pedo’oh (menipu),” katanya.
Dalam pada itu, Haslihelmy menafikan kenyataan Tan Sri Adnan Yaakob yang dakwa beliau menggunakan nama bekas Menteri Besar Pahang ketika berkempen.
“Saya berkempen sehingga hari ini tidak ada jual mana-mana nama sekali pun termasuk Adnan.
“Sebaliknya, bukan sahaja BN, malah PN pun guna, sebut nama saya pada PRK DUN Pelangai ini. Saya hairan, apa dibimbangi oleh BN dan PN kepada calon bebas seperti saya.
“Saya bukan gajah, bukan juga kancil, saya hanya insan kerdil biasa yang mahu memberikan pilihan kepada pengundi dan rakyat di Pelangai,” tambahnya.
Sebagai anak jati Bentong, Haslihelmy berkata, beliau merasai kepayahan dan keperitan dialami penduduk di Pelangai yang ketinggalan dari aspek pembangunan.
Ia termassuk tercicir peluang ekonomi dan perumahan generasi kedua Felda jika dibandingkan dengan kampung lain.
Dalam perkembangan sama, Haslihelmy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong berkata, beliau akan terus berusaha menemui sebanyak mungkin pengundi sebelum kempen berakhir.
“Saya terus menyantuni saudara-mara, sahabat-sahabat, pengundi-pengundi dalam tempoh kempen berbaki tiga hari saja sebelum hari mengundi.
“Reaksi dan maklum balas pengundi yang ditemui rata-rata diterima cukup baik. Saya yakin dan optimis peluang untuk menjadi YB di Pelangai semakin cerah,” katanya. – MalaysiaGazette
Kau jd YB, rakyat dapat apa?? Kau dapat gaji, elaun bagai..rakyat Pelangai dapat apa? Apa yg kau boleh buat utk pembangunan rakyat Pelangai? Ko ada modal kaaa? Ker jual air liur jaa ko blh buat jalan raya, blh buat Dewan Serba Guna, blh maju kan ekonomi org Pelangai…sembang kosong jaa
Berangan itu tak payah bayar dan teruskan berangan