KUALA LUMPUR –Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) membuka peluang pengajian kepada pelajar Chongraksat Wittaya School, Pattani, Thailand.
Timbalan Rektor Akademik & Antarabangsa (TRAA), Prof Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli dalam sesi kunjungan itu menerangkan kepada mereka mengenai program yang ditawarkan untuk sesi Februari dan September setiap tahun.
Katanya, mereka boleh melanjutkan pengajian di Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Al Quran dan Sunnah, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam dan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.
“Bagi pelajar-pelajar yang memenuhi syarat pula KUIPs akan menaja sepenuhnya yuran pengajian, wang sara diri dan juga penginapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Basir juga berharap kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka terutama untuk pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke KUIPs.
Chongraksat Wittaya School yang mempunyai 3, 512 pelajar sekolah rendah dan menengah ini terletak di Pattani.
KUIPs yang ditubuhkan pada Mac 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 ketika itu mempunyai pelajar seramai 61 orang dan kini jumlah meningkat kepada 1088 pelajar dari Malaysia manakala antarabangsa pula berjumlah 171 orang dari lebih 15 negara.
Pelajar antarabangsa ini terdiri dari Indonesia, Thailand, Nigeria, Myanmar, Sudan, Bangladesh, Vietnam, Mali, Kemboja, Palestin, Tunisia, Ghana, Algeria, Jordan dan Yemen.
Di majlis ini Dr. Abdul Basir Awang turut menyerahkan buku sumbangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Pengerusi Sekolah – Mr. Waeda-oh Waeduereh. – MalaysiaGazette