KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini.
Memetik laporan bertajuk ‘Pelangai Memilih: Antara Legasi dan Perubahan’ yang diterbitkan hari ini, kira-kira 57 peratus pengundi berpuas hati dengan prestasi Anwar dan 3.1 peratus lagi sangat berpuas hati.
Sebagai perbandingan, hanya 16.8 peratus pengundi tidak berpuas hati dan 3.8 peratus tidak berpuas hati manakala 19.2 peratus menyatakan mereka tidak pasti.
“Walaupun sebelum ini sukar mendapat kepercayaan warga Felda, kini dilihat seperti warga Felda semakin mesra dengan Perdana Menteri dan keperluan kerjasama Kerajaan Perpaduan,” jelas laporan tersebut.
Bagi Wan Rosdy pula, kira-kira 69 peratus pengundi menyatakan mereka berpuas hati dan 11.9 peratus lagi sangat berpuas hati.
Hanya 8.4 peratus pengundi yang tidak berpuas hati dan 2.6 peratus lagi sangat tidak berpuas hati manakala 8.1 peratus lagi menyatakan mereka tidak pasti.
“Kekuatan kerajaan negeri dengan sandaran persepsi positif yang kuat terhadap Menteri Besar memberi impak yang signifikan terhadap persepsi dan kecenderungan rakyat Pelangai terhadap kempen BN,” jelas laporan itu.
Jasa yang ditinggalkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun juga antara faktor yang memberi kelebihan kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.
Majoriti pengundi iaitu 93.1 peratus bersetuju bahawa Johari amat berjasa kepada penduduk Pelangai berbanding hanya 6.9 peratus yang berpandangan sebaliknya.
“Prestasi Allahyarham Johari dari BN sebelum ini sangat memberi kesan kepada penduduk Pelangai dan penghargaan ini memberi lebih kekuatan kepada BN dalam kempen meneruskan legasi Allahyarham yang tergendala,” katanya.
Laporan tersebut disediakan oleh lima penyelidik iaitu Shahrill Sabarudin, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Prof Madya Dr Novel Lyndon, Dr Suffian Mansor dan Nasrullah Mappatang.
Kajian yang dijalankan mulai 29 September hingga 2 Oktober lalu itu melibatkan seramai 1,772 responden merangkumi sembilan pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Felda Kemasul, Felda Kemahal, Felda Chemomoi, Simpang Pelangai, Kampung Jawi-Jawi, Manchis, Sungai Gapoi, Sungai Perdak dan Telemong.
Seramai 86.9 peratus responden berketurunan Melayu diikuti 10.5 peratus kaum Cina dan 2.6 peratus kaum India.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan pemergian Allahyarham Johari yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette