KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan dan menyemak semula keputusan memansuhkan pemberian diskaun Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan lepasan universiti.
Ketuanya, Izuan Kasim mendakwa, tindakan pemansuhan diskaun PTPTN adalah satu tindakan tidak bijak yang akan menambahkan beban mahasiswa selepas tamat pengajian.
“Dalam keadaan peluang pekerjaan yang sangat kompetitif dan tidak menentu ketika ini, pemberhentian inisiatif ini (diskaun PTPTN) akan memberikan impak negatif kepada para graduan lepasan universiti.
“Selain itu, inisiatif berkenaan yang telah dijalankan sebelum ini jelas telah memanfaatkan peminjamnya untuk mengurangkan beban bagi melaksanakan tanggungjawab untuk membayar balik hutang PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Izuan menambah, AMK Selangor berharap agar keputusan pemansuhan diskaun PTPTN itu dapat dikaji semula bagi untuk memastikan mahasiswa lepasan universiti tidak terbeban.
Di samping itu, beliau juga menyeru agar KPT dapat melaksanakan inisiatif atau program yang lebih bermakna dan membantu mahasiswa serta lepasan universiti. – MalaysiaGazette