Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUr – Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia akhirnya pulang hampa untuk memenangi pingat di Sukan Asia 2022 selepas tewas di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Berdepan H.S Prannoy yang memiliki ranking lebih baik berbanding Zii Jia, satu aksi yang cukup menarik serta mendebarkan dipamerkan oleh mereka.

Ia jelas dibuktikan apabila perlawanan diheret hingga ke set penentuan dan mereka terpaksa beraksi selama satu jam 18 minit pada aksi yang berlangsung di Binjiang Gimnasium itu.

Segalanya bermula dengan baik buat Lee Zii Jia pada set pertama di mana diamemiliki kelebihan 15-11 pada satu ketika.

Namun empat kesilapan berturut-turut dilakukan oleh Zii Jia membolehkan lawan tersebut mengesahkan set pertama menjadi milik beliau dengan kemenangan 21-16.

Set kedua memperlihatkan Zii Jia pula bangkit terutamanya ketika dia  memadamkan kelebihan dua mata akhir dimiliki Prannoy dan kemudiannya menang 23-21 bagi mengheret aksi ke set ketiga.

Set penentuan juga menyaksikan kedua-dua pemain saling mempamerkan aksi menarik dengan kejar-mengejar mata yang akhirnya kemenangan menjadi milik Prannoy dengan mata 22-20 sekali gus berjaya mara ke separuh akhir.

Sementara itu satu lagi wakil negara iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir daripada saingan setelah tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China 14-21, 21-23.

Dengan tewasnya Lee Zii Jia serta pasangan Tang Jie-Ee Wei, harapan negara pada ketika ini disandarkan kepada Ng Tze Yong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah yang akan beraksi hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast