Halidan Md Daud (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kerusi roda daripada Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dengan kerjasama Bank Muamalat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang diwakili Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus di sini hari ini.

KUANTAN – Wakaf Pahang menyumbangkan sebanyak 158 kerusi roda kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKPN) untuk diagihkan kepada 94 klinik kesihatan dan 12 hospital di negeri ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md Daud, sumbangan bernilai RM60,000 itu merupakan sebahagian hasil kutipan dana wakaf bagi tahun ini.

“Ini merupakan satu simbolik saluran wakaf tunai yang kita hasratkan untuk kegunaan lima kategori iaitu keagamaan, kesihatan, pendidikan, sosial dan ekonomi. Dan hari ini sumbangan dari segi kesihatan,” katanya.

Datuk Halidan Md Daud

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda daripada Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang  (MUIP) dengan kerjasama Bank Muamalat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang diwakili Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus di sini hari ini.

Jelas Halidan, pihaknya berhasrat untuk memperhebat usaha kutipan dana wakaf pada masa hadapan dengan menarik lebih ramai pewakaf untuk menyumbang dana menerusi kempen potongan gaji bagi tujuan tersebut.

“Sasaran kita untuk wakaf tunai untuk tahun ini adalah sebanyak RM3.5 juta dengan bilangan pewakaf sasaran seramai 6,500 orang. Setakat ini kita baru ada seramai 5,500 pewakaf.

“Jadi, tumpuan kita untuk meningkatkan jumlah pewakaf ini menerusi pemotongan gaji di jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah dan sebagainya,” jelasnya.

Dengan pertambahan dana wakaf terkumpul itu katanya, lebih banyak manfaat dapat disalurkan kembali kepada masyarakat.

Selain itu, Wakaf Pahang juga telah meluluskan sebahagian daripada dana bagi tujuan penyediaan bot wakaf untuk penduduk Pulau Tioman bagi kegunaan ketika kecemasan.

Sementara itu, Nor Azimi ketika ditemui menyambut baik sumbangan kerusi roda terbabit pada hari ini di mana ia merupakan keperluan buat pesakit yang memerlukan.

“Diharap ada lagi sumbangan Wakaf Pahang kepada JKNP dan saya juga akan menggalakkan kakitangan kami untuk menymbang kepada Wakaf pahang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast