KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dijangka dapat mengekalkan penguasaannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
Menurut laporan bertajuk ‘Pelangai Memilih: Antara Legasi dan Perubahan’ yang diterbitkan semalam, kira-kira 55.5 peratus pengundi memilih BN berbanding 43.2 peratus yang cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) manakala 1.3 peratus menyatakan mereka tidak pasti.
“Berdasarkan dapatan ini, didapati bahawa naratif perubahan yang dibawakan oleh PN masih belum dapat menembusi jiwa pengundi-pengundi di DUN Pelangai, walaupun telah ada peningkatan kecenderungan terhadap PN,” jelas laporan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 50.8 peratus pengundi di DUN Pelangai berpandangan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dikekalkan sehingga ke hujung penggal.
Sebagai perbandingan, 30 peratus pengundi berpendapat sebaliknya manakala 19.2 peratus lagi menyatakan mereka tidak pasti.
Selain itu, kira-kira 58.6 peratus pengundi mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan mereka percaya ia patut dikekalkan sehingga penggal ini berakhir.
Hanya 13.5 peratus pengundi berpandangan sebaliknya manakala 27.9 peratus lagi menyatakan mereka tidak pasti.
“Pengundi Pakatan Harapan (PH) terutamanya golongan Cina dan India di Manchis, Telemong dan Simpang Pelangai dilihat semakin yakin dan cenderung memberi undi kepada BN kerana menyedari keperluan gandingan BN dan PH.
“Mereka juga tidak boleh menerima naratif ultra-Melayu Muslim yang dibawakan oleh Pas,” kata laporan itu.
Laporan tersebut disediakan oleh lima penyelidik iaitu Shahrill Sabarudin, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Prof Madya Dr Novel Lyndon, Dr Suffian Mansor dan Nasrullah Mappatang.
Kajian yang dijalankan mulai 29 September hingga 2 Oktober lalu itu melibatkan seramai 1,772 responden merangkumi sembilan pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Felda Kemasul, Felda Kemahal, Felda Chemomoi, Simpang Pelangai, Kampung Jawi-Jawi, Manchis, Sungai Gapoi, Sungai Perdak dan Telemong.
Seramai 86.9 peratus responden berketurunan Melayu diikuti 10.5 peratus kaum Cina serta 2.6 peratus kaum India dan kesemuanya berumur 18 tahun ke atas.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan pemergian Allahyarham Johari yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam akan bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PN, Kasim Samat serta calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
DUN Pelangai dikenali sebagai kubu kuat BN dan sebelum ini dipertahankan oleh bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selama lapan penggal sejak Pilihan Raya Umum Ketujuh (PRU7).
Allahyarham Johari meneruskan penguasaan BN di kerusi tersebut setelah memenanginya pada PRU15. – MalaysiaGazette