KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk tidak meminggirkan suara badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili usahawan dan peniaga Melayu dalam Belanjawan 2024.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Abdull Rahim Saad berkata, pandangan kumpulan itu semasa sesi libat urus dan taklimat bagi Belanjawan 2024 seharusnya diberi perhatian.
“Kerajaan perlu rujuk kepada persatuan dan pengusaha Melayu, kita ada ahli di bawah yang perlu dibantu. Kerajaan perlu pandangan Perdasama dan persatuan peniaga Melayu.
“Kerajaan boleh adakan dialog dan perbincangan dengan Perdasama. Dialog sekarang ini bila dipanggil ‘dia’ seorang yang bercakap. Bila pergi majlis taklimat, kita dengar sahaja,” kata Abdull Rahim kepada MalaysiaGazette.
Perdasama menurut beliau berharap, Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat depan akan memberi keutamaan untuk menghidupkan kembali perniagaan sekali gus memberi nafas baharu kepada usahawan Melayu.
Menurut beliau, masih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana orang Melayu yang terkesan akibat Covid-19.
Abdull Rahim berkata, antara yang menghadapi masalah adalah pemilik rumah inap dan hotel bajet.
Beliau berharap industri tersebut dapat dihidupkan semula dengan memberi keutamaan berbentuk geran atau pinjaman kepada mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu melihat cara untuk membantu usahawan Melayu yang terlibat dalam bidang farmasi yang berhadapan cabaran dari segi harga pembelian.
“Harga yang dimiliki oleh farmasi Melayu tidak boleh berlawan dengan farmasi lain kerana harga yang tinggi. Sebab itu ramai orang Melayu tidak dapat terlibat dalam bidang ini kerana terpaksa bersaing.
“Farmasi besar yang dimiliki oleh bukan Melayu ada cawangan di merata tempat. Jadi bila membeli bahan dalam jumlah yang besar mereka boleh mendapat harga yang lebih murah berbanding farmasi Melayu,” kata beliau.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan perlu mempunyai pendekatan dengan memberi bekalan kepada farmasi Melayu pada harga yang kompetetif supaya mereka dapat bersaing di pasaran terbuka.
Perdasama yang genap berusia 25 tahun mempunyai lebih 15,000 ahli berdaftar dan 16 cawangan di seluruh negara.-MalaysiaGazette