KUALA LUMPUR – Majoriti pengundi di Pelangai memahami dan menerima rasional di sebalik kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Merujuk laporan bertajuk ‘Pelangai Memilih: Antara Legasi dan Perubahan’ yang diterbitkan semalam, seramai 42.9 peratus pengundi sedar bahawa kerjasama tersebut adalah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain itu, kira-kira 26.1 peratus pengundi memahami bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah penting demi kestabilan negara.
Sebaliknya, sebanyak 11.5 peratus pengundi masih memerlukan penjelasan serta 10.1 peratus tidak menerimanya manakala 9.4 peratus lagi tidak ambil tahu atau tidak kisah.
Sementara itu, sebanyak 38.3 peratus pengundi mahu kerajaan memberi penekanan terhadap usaha menangani kos sara hidup diikuti subsidi dan bantuan kerajaan (24.5 peratus), pembangunan infrastruktur 20.1 peratus dan peluang pekerjaan (17.1 peratus).
Laporan tersebut disediakan oleh lima penyelidik iaitu Shahrill Sabarudin, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Prof Madya Dr Novel Lyndon, Dr Suffian Mansor dan Nasrullah Mappatang.
Kajian yang dijalankan mulai 29 September hingga 2 Oktober lalu itu melibatkan seramai 1,772 responden merangkumi sembilan pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Felda Kemasul, Felda Kemahal, Felda Chemomoi, Simpang Pelangai, Kampung Jawi-Jawi, Manchis, Sungai Gapoi, Sungai Perdak dan Telemong.
Seramai 86.9 peratus responden berketurunan Melayu diikuti 10.5 peratus kaum Cina serta 2.6 peratus kaum India dan kesemuanya berumur 18 tahun ke atas.
PRK DUN Pelangai diadakan esok berikutan pemergian bekas penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam akan bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat serta calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette