Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tetap dibayangi bekas Perdana Menteri keenam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

BENTONG – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tetap dibayangi bekas Perdana Menteri keenam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Poster dan pemidang mengenai Najib disebar dalam kawasan tiga rumpun Felda di kawasan Pelangai.

Tiga Felda itu merupakan Felda Sungai Kemansul, Felda Sungai Kemahal dan Felda Chemomoi yang mempunyai lebih 8,000 pengundi sekaligus menjadikan ia 50 peratus undi di Pelangai.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati semasa tempoh awal berkempen menyaksikan beberapa rentang berlatar belakang putih dan tertulis ”Kami Rakyat Felda Sayang Najib Tun Razak” tergantung di laluan utama Felda.

Selain itu terdapat juga kain tertulis “Pulangkan Najib Kami” sebagai tanda soladariti kepada beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan dalam suasana kehangatan kempen PRK Pelangai ini.

Pastinya jasa Najib dikenang oleh warga peneroka ekoran  Felda terbit dari idea bapanya Almarhum Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun  sehingga kini tiada siapa mengaku bertanggungjawab memasang kain pemidang tersebut yang dilihat menarik perhatian ramai kerana lokasinya pada kedudukan yang strategik.

Manakala pada hari tempoh berkempen hari ini menyaksikan pelekat tertulis ” Kami Bersama najib #deminajib” diedarkan kepada penduduk Pelangai.

Pelekat tersebut diedarkan oleh penyokong Barisan Nasional (BN) kepada pengundi di sini melambangkan ingatan terhadap bekas pemimpin itu.

Terdahulu, anak Najib, Datuk Mohd Nizar Mohd menyampaikan salam ayahnya dari penjara kepada penduduk Pelangai.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas kes penyelewengan berkaitan 1MDB. – MalaysiaGazette