BENTONG – Berbaki beberapa jam sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tamat – tiga calon bertanding berkongsi nazar masing-masing jika beroleh kemenangan.
Bagi calon nombor satu mewakili Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat bernazar mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekiranya diberikan mandat.
“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh sehingga tamat tempoh kempen tengah malam ini. Saya yakin PN, insya-Allah beroleh kemenangan. Tiada nazar selain nak berikan perkhidmatan terbaik jika menang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Manakala bagi calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli pula bernazar untuk memberi sumbangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan di Pelangai.
Beliau yakin dan berharap kemenangan berpihak kepadanya esok.
“Perkara pertama saya akan lakukan jika menang nanti akan ke Pejabat Tanah Dan Daerah Bentong untuk menyelesaikan isu tanah penduduk,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) pula, Datuk Amizar Abu Adam peringkat awalnya mahu menghantar lima jemaah menunaikan umrah di Mekah.
“Insya-Allah kalau beroleh kemenangan, saya ingin menghantar jemaah yang tidak berkemampuan di Pelangai ke Mekah. Inilah nazar saya jika BN memang pada PRK Pelangai nanti,” katanya selain berazam mahu memberikan sepenuh tumpuan menjaga kebajikan penduduknya.
PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG – 65 undi). – MalaysiaGazette