BENTONG – Kepulangan yang dinanti demi memangkah kertas undi terutama kepada pengundi muda yang tinggal di luar Pelangai semangnya berharga.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengundi muda pulang ke Pelangai selepas habis waktu kerja petang Jumaat.
Mereka menyifatkan pulang mengundi ke kampung halaman merupakan tanggungjawab kepada negara.
Meskipun tinggal di luar, mereka tetap ingin merasai pembangunan yang telah dirancang oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Hadi Muhammad, 23, berkata, ini kali kedua berpeluang mengundi dan kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.
“Baru sampa sini terus nak tahu perkembangan kempen di sini sebab sudah hari terakhir. Sebagai anak muda kami mahu ada peluang pekerjaan di sini supaya dapat tinggal di kampung besama keluarga,” katanya ketika ditemui.
Manakala bagi Rosazura Azman, 30, peluang kali kedua tidak mahu dilepaskan bagi memilih pemimpin di bumi Pelangai.
“Alhamdulillah perjalanan tadi agak sedikit sesak tapi selamat sampai bertolak selepas balik kerja. Keluarga orang sini, tentu nak lagi maju dan pelbagai bantuan diberikan kepada masyarakat.
“Sangat bagus arwah Datuk Jo (Johari), jadi mengharapkan dapat pemimpin di Pelangai ini serupa dengan dia yang banyak bantu,” katanya.
Sementara itu, bagi penuntut Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah, Nur Khairusnisa Jaafar, 22, pula menyifatkan undi orang muda penentu masa depan negara.
“Kali kedua mengundi, saya kenal arwah, tengok masa arwah Datuk Seri Johari hidup dia sangat rapat dengan penduduk. Saya tengok yang calon menggantikan arwah juga ada ciri-ciri dia, harapnya terus dijaga oleh kerajaan.
“Arwah kita tengok ada pembangunan yang dia nak buat cuma belum kesampaian, yang baru ini kita tengok dia cuba nak meneruskan apa arwah dah buat,” katanya. – MalaysiaGazette