Abu Adam Duaji

BENTONG – Bapa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mengingatkan anaknya agar sentiasa menghormati pengundi sama ada menang atau kalah.

Abu Adam Duaji, 74, berpesan agar anaknya agar memelihara akhlak dalam mendepani kawan atau pihak lawan.

Beliau mengakui sejak kecil, ciri-ciri kepimpinan itu dilihat pada Amizar sehingga bapa sauaranya menggelarnya YB (Yang Berhormat) kerana pemakaian yang kemas dan bersih.

”Sebagai bapa kena beringat dan menasihat beliau, kalau jadi pemimpin bawa kepimpinan dunia dan akhirat kedua-dua sekali, mesti ada dua-dua baru ada kemajuan.

”Kedua, hormat dan ingat orang tua, kenang berapa tahun semua susah semasa mula-mula dan kena ingat menang atau kalah kena hormat pengundi, hormat semua,” katanya ketika ditemui.

Abu Adam berkata, dia dan anak beranaknya akan menjadi pemantau gerak kempen Amizar dan jika menang akan membantu mengotakan janji dibuat BN kepada pengundi.

”Selagi pak cik bernafas, boleh bercakap, pak cik sebagai bapa akan memantau dan pastikan dia buat seperti yang dijanjikan.
Kalau berjanji, mesti ditunaikan. Sekiranya kalau Allah izikan dia sebagai pemimpin, yang pertama pak cik ingatlah apa yang dia janji minta ditunaikan.

“Kalau tak tertunai sepenuhnya, kita tunaikan dengan cara perlahan-lahan, itu sahaja. Jangan kita janji tinggal janji.

“Kalau dia berjanji dengan penduduk, pak cik kata awak tunaikanlah janji jangan awak cakap sahaja tapi janji tak tunaikan tak baik, tak bagus kita sebagai orang Islam, sebagai orang Melayu,” katanya.

Menurut ayahnya, Amizar mula menunjukkan minat dalam dunia politik sejak sekian lama sebelum mengambil keputusan untuk bertanding pada PRU-15.

Anaknya mula berkecimpung secara serius apabila menyertai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU) namun rezeki tidak berpihak kepada Amizar.

“Rasa pak cik daripada 15,16 tahun lepas begitulah dia sudah mula minat politik ini. Sedikit demi sedikit. Pak cik pun dah dia minat sikit pak cik tak tanya juga tapi dalam diam-diam dia simpan.

”Sehingga sampai ke PRU-15 tu dia dah mula berkecimpung dalam bidang dia masuk DUN Ketari tapi tuhan tak mengizinkan, kali ini masuk adun Pelangai,” katanya.

PRK Pelangai esok menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar yang mewakili BN, Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast