peruntukan kesihatan awam
Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah sah di sisi undang-undang.

Itu penegasan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika menjawab afidavit tuntutan saman daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dr Zaliha berkata, beliau telah dinasihati Peguam Kanan Persekutuan berdasarkan seksyen 6 Akta 366 (Akta Racun 1952).

“Berdasarkan Sesyen 6 Akta 366 (Akta Racun 1952), saya percaya boleh mendapatkan konsultasi daripada Lembaga Racun mengenai keputusan pengecualian berkenaan.

“Tidak ada keperluan bagi mendapatkan kelulusan daripada lembaga itu untuk meminda Perintah Racun pada 31 Mac lalu.

“Saya sesungguhnya menyatakan bahawa keputusan terhadap perintah racun berkenaan adalah sah di sisi undang-undang, dilakukan secara rasional dan tidak berlaku sebarang kesumbangan dari segi prosedur,” katanya.

Menurut Dr. Zaliha, perintah yang dipertikaikan itu adalah perlu bagi melaksanakan Belanjawan 2023 yang sudah dipersetujui dan diluluskan Dewan Rakyat untuk mengenakan dan mengutip duti eksais ke atas cecair atau gel yang mengandungi nikotin di dalam rokok elektronik dan vape.

“Sekiranya perintah ini dibatalkan, ia akan memberi kesan kepada perundangan subsidiari lain dan seterusnya menjadikan kutipan duti eksais oleh kerajaan tidak sah.

“Saya sesungguhnya menyatakan hasil kutipan duti eksais akan disalurkan semula kepada KKM untuk peruntukan kos penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Jelasnya, hasrat kerajaan melalui Belanjawan 2023 sudah menampakkan hasil apabila duti eksais ke atas produk cecair atau gel bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape diperolehi mulai Mei sehingga Ogos 2023.

Sebelum ini, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MTCT), Pertubuhan Green Lung Malaysia (GLMA) dan persatuan hak kanak-kanak, Voice Of The Children (VOC) telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 30 Jun lalu bagi mencabar keputusan itu. – MalaysiaGazette