KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) digesa supaya mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memasukkannya ke dalam Belanjawan 2024.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pengerusi PTPTN juga perlu memberikan data tepat berkenaan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak muda dengan menggunakan diskaun yang diberikan kerajaan.
Ini kerana katanya, tindakan memansuhkan kemudahan diskaun tersebut bakal memberikan impak negatif kepada golongan graduan kerana ia tentunya membebankan.
“Kononnya undi Pakatan Harapan untuk hapuskan bayaran PTPTN. Tapi kini, diskaun pula yang dihapuskan. Ini adalah satu tindakan zalim kepada para graduan yang baru mula bekerja.
“Tentunya kesan langsung akan mempengaruhi kewangan graduan. Pada masa yang sama, KPT perlu menjelaskan bagaimana pemansuhan diskaun ini dapat memberikan kesan positif kepada kementerian dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mengeluarkan kenyataan bersetuju bahawa tiada keperluan mendesak untuk meneruskan diskaun PTPTN, digesa untuk turun padang mendengar keluh-kesah graduan.
Dalam pada itu Shahir memberitahu, pihaknya mencadangkan agar pemberian diskaun PTPTN itu ditambahbaik secara lebih menyeluruh kepada peminjam.
Katanya, sebelum ini diskaun hanya diberikan untuk bayaran separuh nilai pinjaman atau bayaran penuh.
“KPT dan PTPTN wajar memberikan diskaun kepada graduan yang membayar bulanan secara konsisten atau auto-deduction.
“Mungkin juga diskaun boleh diberikan untuk mereka yang mahu membayar 25 peratus daripada jumlah hutang PTPTN,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada masalah rakyat kerana ramai yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Sebelum ini, media melaporkan KPT tidak bercadang meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette