Taman Kucing MADAD yang menempatkan lebih kurang 30 ekor kucing jalanan, Taman kucing ini sedia menerima kunjungan peminat kucing tanpa di kenakan sebarang bayaran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Kucing Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

SUNGAI PETANI – Yayasan Murtadha Berhad berjaya membangunkan sebuah taman kucing bernilai RM500,000 yang terletak di dalam pusat komuniti Islam bertaraf antarabangsa di Kampung Teluk, Sungai Layar.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Murtadha Berhad,  Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof memberitahu, taman berhawa dingin itu mampu menempatkan hampir 500 ekor kucing yang dilengkapi kemudahan seperti bilik rawatan, bilik pembedahan, bilik kuarantin dan seorang doktor yang datang secara berkala.

Beliau berkata, ketika ini jumlah kucing yang dijaga berjumlah lebih 100 ekor dan majoriti adalah kucing yang dikutip di jalanan selain menerima kucing orang ramai yang dibuat secara permohonan.

“Kami bermula dengan rumah kucing tertutup namun terpaksa dibuka pada tahun lepas sebagai taman kucing kerana ramai yang ingin melawat kucing-kucing yang dibela itu.

“Malah kami pernah menerima permohonan untuk menghantar kucing ke sini sehingga  2,000 ekor dan terpaksa menolaknya namun ada yang meninggalkan kucing mereka di depan pejabat yang membuat kami terpaksa menjaga dan memberi makan akhirnya,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Pengunjung yang hadir meluangkan masa bermain bersama kucing yang terdapat di Taman kucing MADAD ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Kucing Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Mohammad Yaakub Yusra menambah, kos pembinaan taman kucing itu sebahagiannya dibiayai hasil keuntungan pelaburan kripto selepas terlebih dahulu membina rumah kucing dengan kos RM80,000.

Menurut beliau, kos perbelanjaan sebulan bagi taman kucing itu mencecah RM30,000 dan pihaknya bersyukur kerana ramai pihaknya yang kini tampil memberi sumbangan untuk membuat amal jariah.

“Kami tidak pernah buat crowd funding (pendanaan awam) namun orang ramai yang secara sukarela ingin memberikan sumbangan.

“Jadi kami mengalu-alukan usaha mereka itu namun konsep yang diamalkan mereka tidak boleh memberi wang tunai tetapi memberi makanan dan ubat-ubatan yang diperlu kucing di sini.

“Sebenarnya kucing tidak wajib dijaga namun jika jika ingin memeliharanya kena jaga betul-betul. Ada yang terhegeh-hegeh hendak bela kucing tidak tidak faham mood kucing dan pelbagai penyakit yang boleh dihidap oleh kucing ini,” katanya.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Mohammad Yaakub Yusra meluangkan masa bersama kucing yang terdapat di Taman Kucing MADAD ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Mohammad Yaakub Yusra memberitahu, pada awalnya, taman kucing itu tidak ada dalam perancangan fasa pembangunan pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa itu.

“Sebelum ini saya memang suka kutip kucing-kucing yang sakit di tepi jalan dan dibawa balik ke pejabat. Dari dua ekor sampai berjumlah lebih 30 ekor dan ada seorang staf saya iaitu pengawal keselamatan diberikan duit kepada dia untuk membeli makanan dan menjaga semua kucing itu.

“Hinggalah kucing itu beranak-pinak dan pejabat berbau kucing dan saya mula terfikir apa yang perlu buat bila jumlah kucing terlalu banyak. Saya tanya bahagian akaun ada berapa jumlah wang dalam syarikat dan dia kata ada RM80,000.

“Jadi kita buat dahulu satu rumah yang memiliki empat bilik dan berhawa dingin dengan mengambil dua staf untuk menjaga 40 ekor kucing pada mulanya,” katanya.

Masjid Murtadha Dakwah Centre atau lebih di kenali sebagai Masjid MADAD mempunyai Taman Kucing MADAD untuk para jemaah yang hadir ke masjid boleh juga hadir ke Taman Kucing yang terletak bersebelahan Masjid MADAD ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Sementara itu, taman kucing itu merupakan sebahagian daripada fasiliti dalam pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta yang dibangunkan.

Pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas 13 hektar sejak 2018 itu kini memasuki fasa kedua pembinaannya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun akhir 2025.

Selain masjid, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan pusat tahfiz integrasi dan pusat pengurusan jenazah, rumah warga emas, stadium e-sports dan futsal, hub sukan sunah seperti memanah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah termasukan sebuah masjid yang tular dengan rekaan unik sejak dibuka April lalu. – MalaysiaGazette

Taman Kucing MADAD yang menempatkan lebih kurang 30 ekor kucing jalanan, Taman kucing ini sedia menerima kunjungan peminat kucing tanpa di kenakan sebarang bayaran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Kucing Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.