BENTONG – Keputusan tidak rasmi menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam mendahului kedudukan ketiga-tiga calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai setakat jam 7.30 petang tadi.
Menurut informasi yang dipamerkan di pusat gerakan BN di Simpang Pelangai mendapati Amizar mendahuli dengan 2,966 undi jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Kassim Samat dengan 582 undi.
Manakala calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli setakat ini mendapat 20 undi.
Keputusan itu bagi kiraan 12 saluran berbanding 31 saluran keseluruhannya.
Dalam pada itu, kiraan tidak rasmi bagi undi pos pula menyaksikan BN mendapat 47 undi berbanding PN dengan 13 undi.
PRK kawasan itu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pertandingan merebut kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Kasim Samat yang juga bekas calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Manakala, BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding. – MalaysiaGazette