BENTONG – Hari mengundi di Pelangai hari ini dijadikan peluang kepada penduduk setempat untuk mencari rezeki.
Selain, penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai keluar mengundi, kawasan ini masih lagi menjadi tumpuan orang luar.
Lantas kesempatan ini, dijadikan sandaran kepada penduduk menambah wang saku masing-masing.
Bagi Mastura, 36, mula berniaga sepanjang musim kempen dan hari mengundi kerana ketika ini Pelangai menjadi pusat tumpuan.
“Bersyukur sangat dapat mencari rezeki semasa musim pilihan raya. Pelangai jadi terkenal dan ramai orang luar masuk,” katanya yang mengundi pada jam 5.20 petang tadi.
Katanya, dia keluar mengundi lewat kerana pusat menegundi dekat sahaja dan tidak mahu berasak-asak.
“Yang penting saya keluar mengundi,” tambahnya yang menjual laksa sarang telur, ikan ppatin masak tempoyak dan asam pedas.
Sementara itu, Rosliza Berahim, 45, sanggup datang dari Triang, mencari rezeki di sini pada hari pengundian.
Dia membuka gerai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi.
”Apabila tahu suami nak balik mengundi di sini, jadi saya gunakan masa cuti ini cari rezeki bagi menampung pendapatan.
”Ramai cuba nasib cari duit musim pilihan raya ini, alhamdulillah,” katanya.
Dalam perkembangan sama Mohd Hafizul Farid, 28, juga tidak ketinggalan apabila menjual air cincau dan yong tau foo bersama adik beradiknya.
“Pagi-pagi saya pergi undi dulu lepas tu buka gerai,” katanya keti ditemui di Sekolah Kebangsaan Pelangai. – MalaysiaGazette