Suspek lelaki berjaya ditahan polis selepas melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok semalam. Foto media sosial

BANGKOK – Ibu bapa kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang menembak mati dua individu di dalam pusat beli-belah Siam Paragon baru-baru ini meminta maaf.

Sepucuk surat, yang ditulis dalam bahasa Thai oleh bapa remaja itu disiarkan kepada media.

Keluarga itu menyatakan untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam proses undang-undang.

Budak lelaki itu menghadapi tuduhan membunuh selepas dia melepaskan tembakan pada hari Selasa di dalam pusat beli-belah itu.

Namun sehingga hari ini polis mendedahkan motif tembakan itu.

Dalam surat itu, ibu bapa berkata, anak mereka yang kini berada di bawah kawalan Jabatan Pemerhatian dan Perlindungan Juvana Thailand dan meluahkan rasa kesal atas insiden yang berlaku itu.

“Kami memohon maaf kepada mangsa, keluarga si mati dan mereka yang cedera akibat insiden tembakan baru-baru ini yang berlaku akibat tindakan anak kami. Ini termasuk orang awam, pelancong, pemilik perniagaan dan kedai serta mereka yang terlibat dalam kejadian atau berhampiran yang dipindahkan.

“Ia juga termasuk kakitangan perubatan, jururawat, polis, pegawai kerajaan, sama ada Thai, Cina, Myanmar atau Lao dan semua pihak yang terjejas dengan kejadian ini. Kami amat kesal juga dengan kerosakan dan impaknya.

“Kami amat sedih dan terkejut dengan kejadian ini dan menerima tanggungjawab sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Remaja itu telah didakwa melakukan pembunuhan terancang dan memiliki senjata api secara haram.

Polis berkata, budak lelaki itu menggunakan pistol yang diubah suai bertujuan untuk melepaskan tembakan.

Sehingga kini, keluarga remaja itu masih belum memohon jaminan.

Kedua-dua mangsa yang terbunuh masing-masing berasal dari China dan Myanmar.

Manakala lima yang cedera adalah masing-masing dari Lao dan Cina serta tiga warga Thailand.

Sebelum ini media tempatan mendakwa remaja itu mengalami kesihatan mental. – Agensi