Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat dianugerahkan Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengurusan Perniagaan pada Majlis Konvokesyen Universiti Asia-e (AeU) Ke-12 hari ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurut Adnan, penganugerahan PhD tersebut memberikan pengalaman yang berharga dan berguna kepada beliau apatah lagi dengan kekakangan yang dihadapi daripada segi mengimbangi komitmen sebagai penjawat awam dan tugasan lain.

Jelas Adnan, perkara yang memotivasikan beliau untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi adalah untuk memberikan keyakinan kepadanya bagi memberikan khidmat bakti kepada penjawat awam dan negara.

Beliau berharap kejayaan ini mampu memberi inspirasi kepada golongan penjawat awam untuk terus menimba ilmu tanpa mengira usia dan meningkatkan kemajuan diri bagi membolehkan kualiti perkhidmatan awam sering berdaya saing dari semasa ke semasa,” katanya.

“Peluang keemasan yang saya perolehi untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD melalui Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) AeU digunakan sebaik mungkin walaupun sibuk dengan kekangan kerja seharian.

“APEL merupakan proses berstruktur yang direka untuk menilai dan mengesahkan pembelajaran pengalaman terdahulu individu yang merangkumi spektrum pengetahuan, kemahiran dan sikap,” katanya.

Tambah Adnan, penilaian komprehensif APEL turut mengukur sejauh mana beliau telah mencapai hasil pembelajaran yang diperlukan untuk kemasukan program atau kelayakan akademik.

“Peluang ini membolehkan saya mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dalam menawarkan laluan kepada kelayakan akademik dengan kredit berdasarkan kepada kepelbagaian pengalaman kerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette