Abdul Malek Mohd Isa

BENTONG – Walaupun hujan lebat turun di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, ia tidak menghalang seorang mekanik, Abdul Malek Mohd Isa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Abdul Malek, 28 berkata, beliau berusaha untuk datang mengundi walaupun terdapat halangan untuk beliau berbuat demikian pada awal hari.

“Saya sampai di pusat pengundian jam 5.45 petang kerana saya terpaksa selesaikan hal keluarga di Temerloh.

“Mula tadi rasa macam dah lambat nak datang mengundi tapi kalau tidak dapat undi nanti tidak puas hati pulak. Jadi saya datang juga walaupun dah lambat nak cuba nasib,” katanya kepada MalaysiaGazette setelah selesai mengundi di SMK Felda Chemomoi.

Abdul Malek selesai mengundi jam 5.45 petang sebelum pagar pusat pengundian di sini ditutup jam 6 petang tadi.

Abdul Malek berkata, beliau terpaksa mengambil kakak iparnya yang turun di stesen bas Temerloh untuk tujuan sama.

“Petang baru boleh datang mengundi kerana isteri saya mengundi dulu di Kemasul.

“Saya hantar isteri dahulu untuk mengundi kemudian baru saya datang ke SMK Felda Chemomoi di saluran lima,” katanya lagi.

Sejumlah 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di PRK DUN Pelangai.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast