KUALA LUMPUR – Karate menyumbang pingat emas keenam kontinjen negara di Sukan Asia 2022 Hangzhou apabila Muhamad Arif Affifudin Ab Malik mengungguli acara kumite 84 kilogram (kg) hari ini.
Muhamad Arif yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 meraih kemenangan 10-4 ke atas Daniyar yang sebelum ini memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 2018.
Pada aksi separuh akhir, Muhamad Arif memadam cabaran atlet dari Korea Selatan, Baek Junhyeok dengan keputusan 5-2 selepas meraih kemenangan sengit 4-3 ke atas atlet Indonesia, Sandi Firmansyah pada aksi suku akhir.
Sementara itu, dua lagi atlet karate negara menerima nasib yang berbeza selepas masing-masing kandas sekali gus gagal meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.
Bagi kumite bawah 67kg, S Prem Kumar tumbang 8-0 di tangan atlet dari Kazakhstan, Amarali Didar 8-0 dan terlepas peluang beraksi di pusingan ‘repecharge’.
Langkah P Madhuri pula tersekat di pusingan 16 apabila tewas di tangan atlet dari Jordan, Mansour Leen bagi kategori bawah 55 kg.
Madhuri gagal mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila tumbang 2-11 di tangan lawannya itu. – MalaysiaGazette