BAITULMAQDIS – Seorang pelancong Amerika Syarikat telah ditangkap kerana didakwa memecahkan arca di Muzium Israel di sini.
Imej yang dikongsi oleh polis Israel menunjukkan dua patung Rom purba, yang berasal dari abad ke-2, dalam keadaan patah di atas lantai muzium.
Polis berkata, lelaki itu didakwa merosakkan patung-patung itu kerana dia “menentang Taurat”, teks terpenting bagi agama Yahudi.
Namun peguam lelaki itu telah menafikan dakwaan anak guamnya seorang fanatik agama.
Pihak muzium mendakwa kakitangannya melihat seorang lelaki merosakkan dua patung itu.
Patung kepala Athena, anak perempuan dewa Yunani Zeus, dan patung griffin yang menggenggam roda nasib dewa Rom Nemesis, telah dilaporkan oleh Times of Israel telah patah.
Kedua-dua arca itu adalah sebahagian daripada pameran tetap di Muzium Israel, telah dipindahkan ke makmal pemuliharaan.
Warganegara AS berusia 40 tahun itu ditahan di tempat kejadian, dan kini sedang disoal siasat oleh polis Israel.
Mereka masih belum mendedahkan identiti suspek.
Sebagai sebahagian daripada siasatan awal, polis berkata, lelaki itu mendakwa patung itu mewakili penyembahan berhala.
Sebelum ini, pada bulan Februari lalu, seorang pelancong Yahudi Amerika telah merosakkan patung Kristus dengan tukul di Gereja Flagellation.
Muzium itu menyifatkan kerosakan itu sebagai “peristiwa yang membimbangkan dan luar biasa”, dan mengutuk “semua bentuk keganasan”.
Walaupun kejadian itu, muzium berkenaan tetap terbuka kepada orang ramai. – Agensi