Gambar hiasan

SEPANG – Kerana terlalu mempercayakan kawan, seorang pemuda meninggalkan pekerjaan dalam industri minyak dan gas di Johor dan berpindah ke luar negara, tetapi berakhir dengan tragedi.

Dengan harapan akan mendapat gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM6,000 di Bangkok, lelaki berlama Lee itu ditipu oleh seorang kawan dari China yang dikenali selama enam tahun.

Selepas tiba di Bangkok, Lee dibawa ke destinasi lain sebelum menyeberangi sebatang sungai, tanpa menyedari dia telah memasuki Myanmar dan dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan.

Selama berada dalam kurungan di Myanmar, Lee perlu mencapai sasaran penipuan sebanyak AS$50,000 sebulan atau berdepan hukuman seperti dipukul, tidak diberi makanan dan dikenakan renjatan elektrik.

“Saya pergi ke Bangkok seorang diri pada Mac lalu dan tidak sangka akan berakhir menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar.

“Dari Bangkok, saya membeli tiket bas ke satu destinasi sebelum dijemput satu kereta. Kemudian saya bertukar kereta dan sampai ke sebatang sungai.

“Saya menurut arahan untuk menyeberangi sungai dengan berjalan kaki tanpa menyedari sebarang sungai adalah Myanmar.

“Awal di Myanmar, saya pernah menghubungi ahli keluarga dan meminta bantuan, tetapi saya kemudian telah diperdagangkan kepada sindiket lain dan telefon saya dirampas,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian apabila berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia selepas melalui proses yang sukar.

Ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia itu telah membelanjakan RM50,000 membayar wang tebusan sebelum sindiket penipuan bersetuju untuk membebaskannya.

Usaha itu juga hanya berjaya melalui bantuan seorang warganegara Malaysia yang berniaga di Thailand.

Selepas berjaya meninggalkan Myanmar, mangsa pemerdagangan manusia itu juga ditahan selama lapan hari oleh pihak berkuasa di Maesot, Thailand sementara siasatan dilakukan.

Disebabkan sudah kehilangan pasport, dia juga terpaksa memohon dokumen perjalanan itu dari Kedutaan Malaysia  di Thailand sebelum boleh pulang ke tanah air.

Lee berkata, sementara berada di Myanmar, dia terserempak dengan masing-masing seorang lelaki dan perempuan dari Malaysia yang diperdagangkan banyak kali oleh sindiket penipuan. – MalaysiaGazette