wee ka siong
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika turun padang berkempen sempena PRK DUN Pelangai di Kampung Baru Manchis, Pahang pada 4 Oktober lalu. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Pola pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menunjukkan bahawa kaum Cina kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Datuk Dr Pamela Yong berkata, mereka juga tidak mempunyai sebarang isu dengan calon dari UMNO.

Menurut beliau, hasil gerak kerja yang dijalankan MCA, dua pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Telemong dan Manchis yang mempunyai majoriti pengundi Cina masing-masing beroleh 878 dan 805 undi.

“Di Sungai Gapoi yang merupakan satu lagi PDM dengan majoriti pengundi Cina, BN beroleh 772 undi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang menerima 33 undi, sekali gus mencatatkan majoriti 739 undi.

“Di Sungai Perdak, BN menang dengan majoriti 238 undi apabila meraih 267 undi berbanding 29 undi yang diperoleh PN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keputusan PRN DUN Pelangai semalam menyaksikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam beroleh 7,324 undi mengatasi calon PN, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hilang wang deposit apabila menerima hanya 47 undi.

Pamela memberitahu, jentera MCA Bahagian Bentong telah bekerja keras untuk mengenal pasti 2,974 pengundi Cina di DUN Pelangai termasuk di sekitar PDM Telemong, Sungai Gapoi, Sungai Perdak dan Manchis.

Beliau menambah, MCA telah membuka pusat panggilan dan menerima maklum balas daripada seramai 1,120 atau 37.66 peratus pengundi Cina yang juga ahli-ahli MCA di Pelangai.

“Kami dapat mengenal pasti 998 ahli MCA mengundi untuk BN.

“Perayu undi, ejen tempat mengundi, mengira undi dan barung (PACABA) dan pasukan pengangkutan bekerja tanpa mengenal penat dan lelah semalam untuk memastikan sebahagian besar pengundi Cina di Pelangai keluar mengundi,” jelasnya.

Pamela berkata, MCA menghargai 998 ahlinya iaitu 396 ahli di Telemong dan Manchis (396 ahli), Sungai Gapoi (161 ahli) dan Sungai Perdak (62 ahli) yang keluar mengundi semalam dan memberi sokongan padu kepada BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast