KUALA LUMPUR – Sekretariat Selamatkan Malaysia hari ini membuat satu laporan polis terhadap beberapa Menteri, Ketua Setiausaha kementerian yang didakwa menyalahgunakan kuasa.
Laporan itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat mereka yang terbabit dengan cubaan untuk menghentikan rakyat daripada bersuara dan menyatakan fakta berkaitan Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang bekas banduan.
Jurucakapnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa tindakan setiausaha politik Anwar Ibrahim yang cuba mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin yang menyatakan adalah peliwat adalah bertentangan dengan semangat Parlimen dan imuniti Ahli Parlimen.
“Apa yang dinyatakan Ahli Parlimen Putrajaya (di Dewan Rakyat) adalah fakta dan dimasukkan dalam nota sejarah negara dan ia bukannya sesuatu yang dicipta atau tuduhan atau direka.
“Sebaliknya ia adalah perkara diputuskan oleh mahkamah hasil daripada siasatan polis yang panjang, juga pembuktian saintifik dan keterangan pakar terlibat siasatan dan kemudian diputuskan hakim di setiap peringkat ke peringkat tertinggi menyatakan fakta bukan kesalahan, bukan jenayah, bukan perkara patut disiasat sama sekali,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian itu dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.
Menurut Tun Faisal, tindakan pihak berkuasa memanggil dan menyiasat mereka yang bersuara dalam perkara itu adalah satu kesalahan guna kuasa.
Tambah beliau, intimidasi oleh kelima-lima pihak berkenaan perlu disiasat oleh polis dan disusuli tindakan berlunaskan undang-undang.
“Saya juga melihat perbuatan kesemua pihak berkenaan sebagai satu pembaziran masa penguatkuasa polis sebagainya kerana menyiasat sesuatu yang bukan kesalahan fitnah atau jenayah.
“Lebih-lebih lagi saya melihat ia sebagai satu cubaan menghentikan rakyat daripada bersuara, nyatakan fakta kebenaran dengan salah guna undang-undang.
“Soalan saya misalnya jika kita sebut atau aibkan mereka yang dihukum dalam kes SRC adakah ia tiba-tiba menjadi satu kesalahan dan disiasat polis?.” ujarnya.
Tun Faisal berkata, adalah tidak wajar kerajaan menyalah guna kuasa dan sumber-sumber kerajaan untuk menyisat perkara yang berfakta.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali kesal dengan tindakan setiausaha-setiausaha politik menteri yang diarahkan untuk menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menapis dan memberi amaran kepada Ahli Parlimen Putrajaya itu yang mana menrupakan tindakan berniat jahat.
“Malah kita dapat juga melihat di media sosial ada komentar mereka yang terdiri daripada pro kerajaan, pro Anwar dan Pro PM seolah-olah cuba memadam dan menyatakan perkara seperti qazaf.
“Kami turut terkejut dengan pempengaruh pro kerajaan di dalam media sosial turut menyatakan perkara seperti pengampunan kepada PMX pada 2018 telah menghapuskan dosa,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette